Friday, September 3, 2010

Kenapa Lagu Raya Lama Masih Diminati

Tidak dinafikan yang lagu-lagu raya tahun 60, 70, 80, dan awal 90 an memang enak-enak belaka. Namun tahukah saudari-saudari sekalian sebab-sebab berkait lain yang membuatkan lagu-lagu itu masih diminati oleh pendengar sehingga sekarang ?

1. Raya -> Kampung Halaman.

Raya mengingatkan kita pada kampung. Barangkali kampung itu bermaksud rumah ibu dan ayah kita. Mungkin juga rumah nenek atau datuk. Maka secara tak langsung, mengingati raya bagi yang berusia 30 tahun ke atas ialah mengingatkan 'suasana' mereka di kampung. Mereka tinggal di kampung lebih kurang 20 tahun dahulu, dan mungkin lagu raya (baru) untuk tahun itu ialah lagu-lagu akhir 80 an seperti lagu-lagu raya Jamal Abdillah dan DJ Dave.


2. Raya -> Waktu Kecil -> Kampung Halaman

Raya sinonim dengan bunga api, cuti sekolah dan duit raya. Saat terindah tentulah ketika masih kanak-kanak. Ketika mengumpul duit raya dan juga bermain bunga api. Lagu raya lama kalau dimainkan, pasti membuatkan kita teringat zaman persekolahan kita. Cuti panjang untuk sambut raya, dan ketika bermain bunga api serta mengumpul duit raya. Maka suasana hari raya yang istimewa ialah ketika kita masih kecil.


3. Raya -> Pohonan Kemaafan -> Ibu Bapa & Saudara -> Kampung Halaman

"Mak, Abah, Maaf Zahir Batin.." Klise di pagi raya.. semua bersalaman dengan orang tua masing-masing dan memohon kemapunan dari mereka. Kemudian sesudah solat, semua berjalan raya ke rumah saudara. Biasanya saudara-mara masih ramai tinggal di kampung. Pakcik, Pak Uda, Pak Long.. semuanya masih bekerja, menoreh atau bertani di kampung. Itu suasana di Malaysia. Kemudian ada yang menziarahi kubur. Kubur saudara terdekat juga banyak di kampung. Maka melalui lagu raya, kita teringat saudara di kampung sama ada yang masih hidup atau mati.


4. Raya -> Takbir Raya -> Fitrah

Syahdu bila mendengar takbir raya. Pasti, orang yang barangkali tidak pernah solat juga akan terkesan dek laungan takbir. Cuma di Malaysia versinya sedih dan mendayu-dayu walaupun hakikat sebuah takbir ialah takbir 'kemenangan'. Maka seharusnya kita 'happy' bukan? Takbir itu adalah laungan kembali kepada fitrah kita yang sejak dilahirkan matlamat kita sememangnya ialah mengagungkan kebesaran Allah. Itulah Aidil Fitri yang saya fahami. Fitrah itu sudah sebati dengan kita, yakni kembali kepada asal ciptaan.

Justeru dalam mengaitkan lagu raya. Samalah juga ianya dengan takbir raya. Tidak berubah fitrahnya (masih asal ungkapan dan bait-baitnya) namun yang lama masih tetap lebih di minati. Barangkali qari-qari hebat Malaysia seperti Abdullah Fahmi, Anuar Hasin, Shahir, Adik Muhammad boleh melagukan takbir dalam nada atau irama baru. Tapi, pasti.. versi lama Malaysia 'Melayu' yang mendayu-dayu itu tetap kita minati, walaupun yang melaungkannya, Pak Menteri, atau kita sendiri.


5. Raya -> Kemalangan Maut -> Ibu Bapa -> Fitrah

Ketika kita bergembira, ada juga yang bersedih di hari raya. Barangkali kita juga termasuk dalam kelompok ini yang mungkin kehilangan sanak-saudara dek kemalangan maut di jalan raya atau pun kerana sebab yang lain (cth: akibat bom buatan manusia) setiap kali menjelang raya. Apabila menonton berita kecelakaan di TV, ibu bapa pasti terkenangkan anak-anaknya dan begitulah sebaliknya. Namun di hari raya, hikmahnya tetap ada, iaitu sebagai peringatan untuk kita lebih berhati-hati dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Teringatkan ibu bapa dan anak itulah fitrah kita. Melihat asal kejadian kita dan kejadian 'produk' kita melalui kekuasaan Allah.

Kesimpulannya. Keluarga adalah fitrah, kampung adalah fitrah, dan setiap kejadian harus kembali pada fitrah. Melodi juga punya fitrahnya. Begitu juga 'taste' kita.

Kalau pembaca mahu pandangan yang lebih istimewa.. Boleh kunjungi laman RAMLI MS ini..

Akhir kata, Selamat Hari Raya

3 comments:

  1. Betul2,lagu raya lama tetap evergreen.

    Selamat Hari Raya juga buat Bro. Azalinor sekeluarga.

    ReplyDelete
  2. Betul betul betul... selamat hari raya...

    ReplyDelete
  3. Selamat Hari raya.. Moga Allah menerima amalan kita..

    ReplyDelete