Tuesday, December 6, 2011

Nasyid di Malaysia



Sampai bila nasyid akan bertahan di Malaysia.

Saya sengaja mulakan tulisan saya dengan soalan yang tiada tanda soalnya. Justeru, adakah ayat saya di atas merupakan ayat penyata?

Saya tidak terkejut dengan tindakan penganjur ABP 2012 yang menggugurkan Anugerah Penyanyi Nasyid Popular. Bahkan, secara jujur, saya rasa anugerah itu agak janggal diwujudkan dahulu.

Pertama, kerana tiada anugerah untuk genre lain seperti Penyanyi Rock Popular. Ini semua orang maklum.

Kedua, kerana sememangnya penyanyi nasyid dan lagu-lagunya tidak popular di media awam terutamanya radio-radio utama. Hanya ikim fm, tv alhijrah dan tv oasis yang memainkan lagu nasyid. Barangkali lagu nasyid sesuai dengan tema saluran mereka.

Ketiga, kerana roh anugerah bintang popular dan anugerah lain seperti AIM sangat jauh dari roh dan budaya penasyid itu sendiri. Penyanyi nasyid imejnya sederhana, jauh dari glamor dan malu-malu.

Saya tidak mahu mengupas lebih lanjut. Sememangnya tulisan saya adalah untuk mengajak penasyid, pecinta nasyid dan pecinta kebijaksanaan di luar sana berfikir dan menilai dari perspektif yang lebih luas, tanpa terganggu dengan point yang saya lontarkan.